Saturday, July 7, 2007

gambar ct












ct masih anggun memukau

Jika ada yang merasakan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza sudah hilang ‘taring’ setelah bergelar isteri pada Ogos tahun lalu, ternyata telahan itu tidak tepat. Jumaat lalu bertempat di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Siti buat julung kalinya mengadakan sebuah konsert khas bagi menghiburkan kira-kira 1,300 penonton yang rata-ratanya terdiri daripada pengguna produk kecantikan Olay Total Effects. Konsert Sambutan Eksklusif bersama Siti Nurhaliza telah dianjurkan oleh P&G, untuk meraikan pengguna-pengguna setia produk itu di mana Siti sendiri adalah duta bagi produk tersebut. Pertama kali mengadakan konsert setelah bergelar isteri, nampaknya Siti masih hebat beraksi di pentas dan tidak keterlaluan jika dikatakan persembahannya masih lagi ‘memukau’. Walaupun ia hanyalah sebuah konsert mini dan jelas tidak segah konsert-konsert solo yang pernah dilakukannya sebelum ini, ternyata itu tidak menjadi alasan bagi bintang terkemuka ini untuk tidak memberikan yang terbaik kepada peminat-peminatnya yang hadir memenuhi setiap pelusuk dewan tersebut.
Kesemua penonton yang diraikan pada malam itu terdiri dari pengguna Olay Total Effects yang telah menuntut tiket masing-masing setelah membeli satu botol pelembap muka Olay Total Effects di antara 1 hingga 21 Januari lalu dan ini melayakkan mereka menerima sekeping tiket untuk setiap pembelian. Siti yang tampil di pentas kira-kira jam 9.20 malam membuka tirai konsert dengan mendendangkan lagu Destinasi Cinta. Anggun dengan busana hitam, penyanyi ini secara terang-terangan mengaku agak berdebar untuk membuat persembahan pada malam itu. “Nervous sebenarnya. Maklumlah dah lama tak buat persembahan macam ni. Jadi, bila diberi peluang untuk buat konsert ini, Siti amat menghargainya. “Tapi entahlah, walaupun hanya konsert mini, Siti tetap rasa berdebar,” ujarnya sebaik tamat menghiburkan penonton dengan lagu pembuka tirainya itu. Siti kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Aku Cinta Padamu, Pastikan dan I Will Always Love You. Tiada siapa yang dapat mempertikaikan kemantapan vokal diva tanahair ini ketika mendendangkan lagu-lagu tersebut, terutamanya ketika dia menyanyikan lagu Inggeris dendangan asal Whitney Houston itu.

ct anggun di Grammy

Busana hitam putih yang direka khas oleh Datuk Bernard Chandran telah menjadi pilihan Datuk Siti Nurhaliza ketika berjalan di acara karpet merah Anugerah Grammy ke 49 yang berlangsung pada Ahad lepas di Staples Center, Los Angeles. Siti yang kelihatan teruja dan berseri bergandingan dengan suaminya Datuk Khalid Mohd Jiwa telah berjalan seiring dengan selebriti terkenal seperti Shakira, Nelly Furtado dan Red Hot Chilli Peppers di acara karpet merah Anugerah Grammy itu. Siti juga telah menghadiri post-party selepas acara tersebut yang dianjurkan oleh Sony BMG di Beverley Hills. Siti yang tiba di acara gilang-gemilang itu menaiki limosin, telah beramah mesra dengan artis terkenal Sony BMG seperti John Mayor, Beyonce, Jessica Simpsons dan Dixie Chicks. Pemergian Siti ke Grammy adalah kerana dia telah memenangi dua tiket ke anugerah tersebut pada bulan Mac tahun lepas ketika terpilih sebagai Artis Berpakaian Paling Cantik di acara Ritz Carlton "Breakfast With The Stars" atas tajaan Star World tahun lalu. Ikon Malaysia ini bertuah dapat menjejakkan kaki ke anugerah berprestij atas cadangan Star World. Penyanyi No 1 Malaysia ini juga telah ditemani oleh juru mekap Nurul Shukor dan pengurus produksi, Saiful Kadri. Penyanyi jelita itu kain jenis Channel yang dibelinya dari London baru-baru ini.

ct menerima gelaran datuk

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang hari ini menganggap ia sebagai satu penghormatan kepada golongan penggiat seni tanah air. Katanya, darjah kebesaran itu membuktikan kerjaya dalam bidang seni semakin mendapat tempat dan pengiktirafan masyarakat. Beliau berharap darjah kebesaran yang diterimanya itu bukan sahaja menjadi pencapaian peribadinya tetapi juga dianggap kejayaan buat semua insan seni. Penerimaan darjah kebesaran ini lebih manis dan menjadi satu sejarah dalam hidup saya kerana saya mendapat pengiktirafan daripada Sultan Pahang sendiri, Sultan Ahmad Shah iaitu pemerintah tertinggi negeri kelahiran saya, katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.Siti Nurhaliza yang menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Ahmad Shah yang ke-76 turut memberitahu, beliau akan aktif menyanyi selagi kehadirannya dalam bidang seni diterima peminat. Tambahnya, penggiat seni hiburan tidak perlu berasa terasing, sebaliknya perlu berusaha keras dalam bidang masing-masing untuk bersama-sama pemimpin dan masyarakat menjayakan agenda pembangunan negara. Siti Nurhaliza yang kelihatan manja dan berpegangan tangan dengan suaminya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa menjadi perhatian para tetamu dan penerima bintang dan pingat pada majlis itu yang berlangsung di Istana Abu Bakar di sini. Ramai tetamu turut mengambil peluang untuk bergambar dengan beliau termasuk para pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan. Penyanyi berusia 27 tahun itu yang kelihatan begitu anggun dan menawan sentiasa mengukir senyuman sepanjang majlis tersebut berlangsung

ct berbadan dua?

Apabila bercerita mengenai penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, perkara paling penting yang orang ingin tahu adalah benarkah isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Khalid Mohamad Jiwa ini sudah berbadan dua. Walaupun sudah beberapa kali Siti meyakinkan pihak media bahawa dia masih belum menampakkan tanda bakal bergelar ibu, ada sumber-sumber dalam industri hiburan yang menyatakan harapan Siti dan suami untuk menimang cahaya mata bakal menjadi kenyataan penghujung tahun ini. Bukan sengaja mengada-adakan cerita tetapi kata satu sumber yang rapat dengan Hip menyatakan, Siti dikatakan sudah mula menolak untuk mengadakan persembahan untuk beberapa bulan akan datang iaitu mulai pertengahan bulan ini, semata-mata mahu menjaga kandungannya yang semakin membesar ketika itu.Malah, ada juga sumber lain memberitahu Siti pernah dilihat menjalani pemeriksaan awal khusus untuk wanita mengandung di sebuah pusat perubatan swasta terkemuka di Kuala Lumpur sambil ditemani suami serta ibu tercinta, Siti Salmah Bachik. Difahamkan, peristiwa mengunjungi perubatan swasta itu berlaku baru-baru ini iaitu sebelum Konsert 3 Diva berlangsung di ibu negara. Tidak cukup cerita itu, perubahan bentuk fizikal Siti yang begitu ketara sejak kebelakangan ini setiap kali muncul dalam mana-mana acara seolah-olah membenarkan dakwaan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Biarlah Rahsia itu bakal bergelar ibu. Persoalannya, benarkah semua dakwaan ini? Atau, ia sekadar spekulasi semata-mata. Jika benar kandungan Siti masih di peringkat awal, tentunya penyanyi popular itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan aktiviti nyanyian demi menjaga kandungan. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sepanjang bulan ini saja, Siti terbabit dengan pelbagai pertunjukan termasuk persembahan sempena Minggu Setiausaha serta Konsert Istana Cinta Datuk Siti Nurhaliza, iaitu persembahan nostalgia P Ramlee dan Saloma di Istana Budaya.

Album perkahwinan ct

Bagi mengabadikan kisah cinta penyanyi Siti Nurhaliza, album ini diterbitkan. Pertalian rapat antara Siti Nurhaliza dan syarikat rakaman SRC semenjak hari pertama dia bergelar penyanyi telah menghasilkan album ini.Seperti yang dikatakan oleh Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke, Siti merupakan aset negara yang sewajarnya menjadi kebanggaan semua pihak.Walaupun sudah bergelar isteri, legasi seni Siti perlu terus dijaga dan diwarisi sebaik mungkin.Lalu kisah cinta Siti terungkap dalam album yang menyelitkan 12 lagu-lagu indah nan mendayu ini. Album ini sudah pun berada di asaran pada 18 September lalu, kira-kira sebulan selepas penyanyi ini menghakiri zaman solonya dengan Datuk Khalid Jiwa.Kisah cinta Siti yang penuh dengan intrig tergambar dalam setiap lagu yang dipilih melatari album ini. Penyusunan lagu pula dibuat dengan cara yang cukup cantik, bermula dari zaman awal pembabitan Siti dalam dunia seni suara sehinggalah kepada detik akhir dimana dia bergelar isteri orang.Lagu Cahaya Cinta yang buat pertama kali didendangkan di hadapan khalayak pada majlis persandingannya juga tidak dilupakan menjadikan tarikan utama untuk peminat membeli album ini.Lebih menarik lagi kalau melihat kepada kulit albumnya yang memuatkan banyak gambar cantik Siti Nurhaliza. Bermula dari zaman 'hingusan' sehinggalah didandan cantik bak puteri untuk album perkahwinannya, semuanya dapat anda nikmati dalam album ini.

ct kini sah isteri datuk K

Hanya dengan satu lafaz, penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza Tarudin, 27, hari ini sah menjadi isteri ahli perniagaan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, pada majlis ijabkabul yang mencatat sejarah sebagai majlis pernikahan pertama artis Malaysia yang disiarkan secara langsung televisyen negara ini. Stesen televisyen swasta TV3, yang diberikan hak penyiaran eksklusif majlis pernikahan pasangan itu di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini, turut menyiarkan majlis pertunangan yang diadakan penuh adat istiadat di Dewan Solat Utama masjid itu kira-kira setengah jam sebelum majlis pernikahan berlangsung. Siti Nurhaliza yang bertudung litup dan mengenakan busana kurung anggun kain lace berwarna putih bertakhtakan batu pertama rekaan pereka fesyen terkenal Radzuan Razwill, kelihatan tenang sebaik akad nikah dilafazkan Khalid pada pukul 11.40 pagi. Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Nasroddin Mat Daud dengan mas kahwin RM22,222 tunai bersamaan dengan sempurnanya, mengikut tempoh tahun dan hari, kitab suci Al-Quran diturunkan. Majlis pernikahan itu, yang diadakan bersamaan 27 Rejab 1427 Hijrah, tarikh peristiwa Israk dan Mikraj, turut dihadiri Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman dan isteri Che Puan Muda Julita Aishah, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim serta isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Khalid kemudian menyarungkan cincin emas putih bertatahkan berlian bermata satu ke jari manis Siti Nurhaliza pada majlis membatalkan air sembahyang. Siti Nurhaliza, yang memegang gelaran artis wanita popular Anugerah Bintang Popular sejak tahun 1997, membalas pemberian Khalid dengan menyarungkan sebentuk cincin ke jari suaminya. Anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu menerima tujuh dulang hantaran berkonsepkan tradisional berwarna merah jambu, emas dan krim daripada Khalid,mengandungi wang hantaran RM30,000, bunga rampai dan cincin, set perhiasan diri Chopard, sepersalinan kain jenis lace, beg tangan, seutas jam tangan dan manisan pengikat kasih pasangan itu, strawberi bersalut coklat.