Saturday, July 7, 2007
asal-usul ct
Siti Nurhaliza dibesarkan dalam keluarga berdarah seni kerana boleh dikatakan ahli keluarga dan saudara mara Siti merupakan penggiat seni yang aktif di kampungnya, Kuala Lipis, Pahang. Bermula dengan arwah datuknya, sebagai pemain biola, diikuti oleh bapa saudara dan sepupu-sepupunya yang aktif bermain muzik, begitu juga ibunya yang turut aktif menyanyi di kampung , barangkali darah seni itu mengalir dalam diri Siti secara tidak langsung. Memandangkan Siti seorang yang pemalu, dia tidak pernah mahu muncul di pentas kecuali acara kebudayaan di sekolahnya sahaja. Sewaktu usianya 12 tahun, Siti telah dipujuk dan ditarik oleh sebilangan kanak-kanak iaitu anak-anak polis ke pentas untuk menyanyi dalam satu acara di Balai Polis, Kuala Lipis. Bermula dari situlah Siti memberanikan dirinya untuk muncul menyanyi di pentas. Lebih menarik, menerusi percubaan pertamanya menyanyi itu, dia telah diundang menyanyi di Hotel Melia, Kuala Lumpur selang beberapa hari selepas acara di balai polis tersebut. Siti menyanyi di hotel tersebut bersama pemuzik yang diiringi bapa saudaranya dan turut berduet dengan abangnya, Ayie, dalam persembahan tersebut. Kemudian, dia mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian Hari Merdeka di Kuala Lipis dan muncul sebagai juara. Sewaktu pertandingan itu, beliau menyampaikan lagu Bahtera Merdeka. Seterusnya untuk dua berturut-turut Siti merangkul gelaran juara dalam pertandingan nyanyian Karnival Lipis sehinggalah pihak penganjur tidak lagi membenarkan Siti menyertainya. Dalam pertandingan tersebut, Siti menyampaikan lagu Janji Manismu dan Madah Berhelah. Pada tahun 1995, Siti mencuba bakatnya ke tahap yang lebih tinggi apabila menyertai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini anjuran RTM. Nasib menyebelahi Siti apabila dia muncul sebagai juara dan bermula dari situlah ramai pihak yang berminat untuk melamar Siti menjadi artis rakaman.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment