Jika ada yang merasakan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza sudah hilang ‘taring’ setelah bergelar isteri pada Ogos tahun lalu, ternyata telahan itu tidak tepat. Jumaat lalu bertempat di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Siti buat julung kalinya mengadakan sebuah konsert khas bagi menghiburkan kira-kira 1,300 penonton yang rata-ratanya terdiri daripada pengguna produk kecantikan Olay Total Effects. Konsert Sambutan Eksklusif bersama Siti Nurhaliza telah dianjurkan oleh P&G, untuk meraikan pengguna-pengguna setia produk itu di mana Siti sendiri adalah duta bagi produk tersebut. Pertama kali mengadakan konsert setelah bergelar isteri, nampaknya Siti masih hebat beraksi di pentas dan tidak keterlaluan jika dikatakan persembahannya masih lagi ‘memukau’. Walaupun ia hanyalah sebuah konsert mini dan jelas tidak segah konsert-konsert solo yang pernah dilakukannya sebelum ini, ternyata itu tidak menjadi alasan bagi bintang terkemuka ini untuk tidak memberikan yang terbaik kepada peminat-peminatnya yang hadir memenuhi setiap pelusuk dewan tersebut.
Kesemua penonton yang diraikan pada malam itu terdiri dari pengguna Olay Total Effects yang telah menuntut tiket masing-masing setelah membeli satu botol pelembap muka Olay Total Effects di antara 1 hingga 21 Januari lalu dan ini melayakkan mereka menerima sekeping tiket untuk setiap pembelian. Siti yang tampil di pentas kira-kira jam 9.20 malam membuka tirai konsert dengan mendendangkan lagu Destinasi Cinta. Anggun dengan busana hitam, penyanyi ini secara terang-terangan mengaku agak berdebar untuk membuat persembahan pada malam itu. “Nervous sebenarnya. Maklumlah dah lama tak buat persembahan macam ni. Jadi, bila diberi peluang untuk buat konsert ini, Siti amat menghargainya. “Tapi entahlah, walaupun hanya konsert mini, Siti tetap rasa berdebar,” ujarnya sebaik tamat menghiburkan penonton dengan lagu pembuka tirainya itu. Siti kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Aku Cinta Padamu, Pastikan dan I Will Always Love You. Tiada siapa yang dapat mempertikaikan kemantapan vokal diva tanahair ini ketika mendendangkan lagu-lagu tersebut, terutamanya ketika dia menyanyikan lagu Inggeris dendangan asal Whitney Houston itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment